Showing posts with label stroke. Show all posts
Showing posts with label stroke. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

MEMBENTUK JANTUNG YANG SIHAT

ADAKAH jantung anda berkeadaan baik ? Soalan itu perlu difikirkan setiap wanita, apabila penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia - malah lebih berbahaya daripada kesemua penyakit kanser secara keseluruhan. Dari 1990 sehingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita telah meningkat sebanyak 135 peratus. Pada 2006, 23 peratus kematian wanita disebabkan penyakit jantung.

Soalan tersebut memerlukan satu tindakan yang segera. Jadi, sesihat manakah jantung anda? Di sini beberapa cara untuk memberitahu anda.

Risiko pinggang besar

Adakah anda tahu, lemak di sekeliling pinggang dan kawasan perut (lemak abdomen) membawa risiko lebih besar berbanding lemak di dalam sebahagian bawah tubuh badan? Ini bermakna wanita yang mempunyai bentuk badan buah 'epal' iaitu lemak tertumpu di dalam perut berbanding punggungnya mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar daripada wanita yang mempunyai bentuk badan 'pear', wanita yang mempunyai punggung yang lebih besar dan pinggul yang kecil.

Anda juga boleh mengetahui berapa banyak lemak abdomen yang anda miliki dengan mengukur lilitan pinggang anda. Letakkan satu pita ukur di sekeliling perut anda di atas pusat. Ukuran melebihi 32 inci (80 sentimeter) menandakan anda obes dan mempunyai risiko besar untuk mendapat sakit dada, sakit jantung ataupun strok dan diabetes.

Indek Jisim Tubuh (IJT)

Indeks Jisim Tubuh anda menunjukkan hubungan antara berat dan ketinggian, iaitu berkait rapat dengan lemak badan dan risiko kesihatan. Bahagi berat anda dalam kilogram dengan dua kali ketinggian anda dalam meter (kilogram / m2). Indeks jisim tubuh 25.0 hingga 29.9 adalah berlebihan berat badan dan lebih daripada 30 adalah obes.

Berlebihan berat badan atau obes menjadikan fungsi metabolik anda dalam satu keadaan huru-hara dan membawa kolesterol darah yang tinggi, glukosa darah yang tinggi dan tekanan darah tinggi - tiga faktor utama kepada penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi masing-masing. Paling teruk apabila anda mempunyai salah satu daripadanya, ia mengambil masa yang tidak lama untuk mendapatkan dua yang lain.

Kolesterol

Paras kolesterol anda juga dapat menentukan samada anda berisiko mendapat penyakit jantung.

Penyakit jantung merupakan ancaman serius dan kita perlu mengambil langkah-langkah untuk melindungi jantung dan kesihatan kita hari ini. Di sini, tedapat beberapa tip berguna.

1. Rendah & Tinggi yang betul

Langkah pertama adalah mengamalkan diet yang memastikan jantung anda sihat dan berkeadaan baik. Dua prinsip mudah untuk anda ingat: rendah lemak, tinggi serat

Kurangkan makanan berlemak dan cuba dapatkan makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau digril. Pada masa yang sama, buat pilihan makanan yang tinggi serat. Mulakan mengambil sayur-sayuran yang dimasak sedikit, mengambil buah-buahan dengan kulit mereka, memilih bijirin dan roti gandum penuh. Dan adakah anda tahu, satu sumber makanan yang kaya dengan serat? Ia adalah oat! Di sini diterangkan mengapa.

2. Faktor oat

Oat adalah 100 peratus makanan semula jadi yang boleh membuat satu perubahan yang besar untuk kesihatan jantung anda. Menurut Pentadbiran Makanan Dan Pentadbiran Ubat-Ubatan AS (FDA), 'Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.'

Oat adalah makanan yang kaya dengan serat larut (beta glukan), sejenis serat yang telah terbukti secara klinikal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Ia akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam perut anda dan menghalang kolesterol daripada memasuki aliran darah, menurunkan kolesterol darah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain merendahkan paras kolesterol anda, oat membantu dalam mengurangkan berat badan juga. Sebagai satu sumber tenaga yang rendah lemak, oat memerlukan masa lebih panjang untuk dihadamkan. Bermaksud anda akan berasa kenyang untuk jangka masa yang panjang dan tidak akan menyebabkan anda makan secara berlebihan.

3. Nutrien lengkap

Memandangkan serat larut oat adalah amat penting, terdapat tiga nutrien lain yang harus di ambil oleh wanita sebagai keperluan harian mereka. Nutrien ini adalah kalsium, zat besi dan asid folik.

Zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah dan peredaran darah yang sihat. Asid folik merupakan satu kemestian untuk semua wanita di peringkat usia subur. Asid folik bukan sahaja boleh menyokong penghasilan sel darah merah dan menghalang kekurangan darah, ia juga dapat mengurangkan risiko mendapat bayi anda dengan satu kecacatan tiub neuron. Jadi jangan tunggu sehingga anda mengandung untuk mula mengambil Asid Folik sebaliknya mulakan hari ini.

Walau berapa pun umur anda, tidak pernah terlambat untuk mula berfikir tentang jantung anda. Mulakan sedikit langkah dan berusaha.

Monday, January 10, 2011

ANGIN AHMAR

PENYAKIT Angin Ahmar ialah penyakit mati sebahagian badan, yang biasanya datang dengan tiba-tiba dan sukar pula untuk diubati. Walau bagaimanapun, dengan rahmat dan belas kasihan Allah swt kepada hamba-hambaNya maka melalui Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam dikurniakan doa yang sangat mustajab dan besar faedahnya bagi menjauhi penyakit tersebut disamping lain-lain penyakit berbahaya dan bala bencana.

Amalkanlah membaca doa ini selalu, paling kurang sekali seumur hidup. Dengan mematuhi kaedah dan adab-adab berdoa disamping berikhtiar, Insya Allah, mudah-mudahan doa kita dikabulkan dan kita terhindar dari penyakit yang berbahaya ini.


Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.

Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan. Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.

Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.

Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.

Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.

Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.

Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.

Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amin…